Laman Utama Isu kampus Berita Kampus Penyelidikan Panorama Teknologi Maklumat Info Umum English Seni Budaya Sukan Editorial UKM |
Diskriminasi Gender Dalam Kepimpinan Pelajar
Oleh: Mohd Nur Ikhsan Ahmad
MENJELANG
abad ke 21, sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pembangunan
ekonomi, sosial dan politik memang tidak dapat dinafikan. Dalam aspek pendidikan
sahaja, statistik dengan jelas menunjukkan bahawa pencapaian kaum wanita
melebihi kaum lelaki termasuklah di Institut Pengajian Tinggi sama ada Awam atau
Swasta. Keadaan ini telah berlaku sejak tahun 1990-an lagi. Peningkatan
golongan wanita menceburkan diri dalam pendidikan semakin bertambah dari tahun
ke setahun.
Contohnya, pada tahun 2000 sebanyak 56.2 peratus wanita telah memasuki
universiti dan meningkat lagi pada tahun seterusnya iaitu pada tahun 2001 kepada
57.8 peratus. Namun begitu, disebalik kejayaan cemerlang dalam bidang
pendidikan khususnya, secara realitinya suara kaum wanita dalam konteks
mahasiswi tidaklah selantang mahasiswa walaupun mereka ini berada dalam golongan
yang majoriti di kampus.
Banyak kajian telah dijalankan oleh pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun
swasta bagi mengupas isu ini. Hasil daripada usaha yang dilakukan itu, ramai
yang berpendapat fenomena ini berlaku kerana adanya masalah diskriminasi
gender. Gender merujuk kepada persepsi dan tuntutan tertentu daripada masyarakat
ke atas peranan yang perlu dimainkan oleh individu itu sama ada ianya lelaki
atau wanita. Dalam aspek kepimpinan, diskriminasi berlaku apabila corak
pemilihan seseorang pemimpin itu adalah berdasarkan gendernya dan bukannya
berasaskan kepada kualiti yang ada pada seseorang itu.
Sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi yang berpendidikan dan berilmu seharusnya mereka ini sudah mampu berfikir dengan matang terutamanya dari segi aspek kepimpinan. Peluang yang diberikan untuk memimpin haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana ia merupakan satu amanah serta tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Tidak sepatutnya berlaku masalah seperti diskriminasi gender ini ketika mahasiswa dan mahasiswi sedang berada dalam proses latihan ke arah mewujudkan satu barisan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.
Pada ketika ini, beberapa pihak yang mewakili Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Sisters In Islam telah memberikan cadangan supaya konsep kesamarataan gender haruslah diterapkan.Ia penting agar dapat menjamin satu tahap kepimpinan ang berkualiti tanpa ada diskriminasi gender.
Kesamarataan gender bermaksud setiap orang sama ada lelaki atau wanita mempunyai hak untuk memilih laluan hidup dan menikmati keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t mengikut keupayaan dirinya tanpa perlu akur kepada persepsi atau tuntutan masyarakat yang boleh menyekat potensi individu tersebut. Walaupun demikian, realiti yang wujud sekarang ialah peranan itu seolah-olah didominasi oleh mahasiswa manakala mahasiswi pula hanyalah memainkan peranan untuk menyokong daripada memimpin.
Dalam kitab suci Al-Quran sendiri mengiktiraf kepimpinan kaum wanita iaitu semasa pemerintahan Ratu Balqis yang memimpin negeri Saba sebagai seorang yang bijaksana dalam memerintah. Ini boleh dijadikan bukti kerana ia tidak mustahil sekiranya wanita boleh memainkan peranannya sebagai pemimpin sekiranya diberikan peluang. Namun, yang menjadi batu penghalangnya ialah sesetengah daripada kita ini masih lagi berfahaman bahawa wanita hanyalah berada di barisan kedua selepas kaum lelaki.
Tanggapan seperti ini telah menjadi satu praktis popular hasil daripada pengaruh budaya patriaki yang disemai sejak turun-temurun dalam masyarakat kita.Walhal, kepimpinan wanita sememangnya perlu bagi memastikan kebajikan mereka terjamin dari pelbagai aspek seperi ekonomi dan sosial. Dalam konteks negara kita Malaysia, penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita oleh kerajaan merupakan satu perkembangan positif dalam usaha meningkatkan taraf kaum wanita.
Begitu juga setelah lulusnya Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang dapat menjamin keselamatan wanita khususnya isteri daripada dizalimi oleh suami.Pada zaman ini, kita dapat melihat ramai wanita yang pernah dan sedang menjadi pemimpin tertinggi negara seperti Indra Ghandi, Margaret Thatcher, Syekh Hasina Zia, Megawati Sukarnoputri dan lain-lain lagi. Jelas di sini menunjukkan bahawa kemajuan dan kegagalan sesebuah negara atau bangsa itu tidak ada kaitan dengan persoalan jantina atau gender tetapi lebih kepada sistem yang diterapkan dan kemampuan kepimpinannya.
Justeru, konsep kesamarataan sebenar yang perlu diterapkan sepenuhnya. Konsep kesamarataan ini penting bagi memastikan setiap golongan samada lelaki ataupun wanita dapat menunjukan kemampuan masing-masing bagi bersama-sama membangunkan negara.Ini bermakna betapa perlunya kita menghormati hak-hak sama ada lelaki mahupun wanita. Perlunya ditekankan semangat kerjasama antara lelaki dan wanita bagi membentuk sebuah negara yang stabil dari segi ekonomi dan sosial. Sikap diskriminasi terhadap sesuatu gender perlulah dikikis sepenuhnya.
Ini kerana walaupun ianya hanyalah sebesar zarah, apabila dibiarkan mampu menjadi barah yang merbahaya kepada masyarakat mahupun negara.Pada masa kini, kita tidak dapat menafikan bahawa majoriti kepimpinan yang wujud dalam kerajaan seluruh dunia didominasikan oleh wanita. Walaupun begitu, secara sedar atau tidak, antara faktor penyumbang kepada keadaan tersebut ialah hasil sokongan yang diberikan oleh kaum wanita. Justeru, peluang juga haruslah diberikan kepada kaum wanita untuk memimpin bagi mewujudkan satu kehidupan lebih adil dan saksama untuk mencapai keharmonian hidup
Sikap Pemandu Punca Kemalangan Jalanraya
Oleh: Aminah Samsudin Mohd
SERAMAI
36 penumpang nyaris maut apabila bas yang mereka naiki terhumban ke dalam
longkang berhampiran Kolej Kris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kejadian tersebut, walau bagaimana pun, hanya menyebabkan empat penumpang cedera
ringan dan telah diberi rawatan pesakit luar di Hospital UKM.
Kejadian itu dikatakan berpunca daripada kegagalan pemandu bas mengawal kenderaan tersebut ketika menuruni laluan di kolej berkenaan.
Pemandu bas berkenaan telah ditahan untuk disoal siasat dan perkhidmatan bas mini tersebut digantung sementara perkhidmatannya. Kemalangan bas di UKM itu hanyalah satu contoh kes kemalangan yang berlaku di negara ini. Setiap tahun kes kemalangan jalanraya mencatatkan banyak kecederaan dan kehilangan jiwa. . Peningkatan tersebut, terutamanya pada setiap musim perayaan semakin membimbangkan banyak pihak.
Menurut sumber seperti polis, kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti fizikal jalanraya, cuaca, persekitaran dan sikap pengguna. Namun faktor sikap dikenalpasti sebagai punca utama menyebabkan berlakunya kes-kes kemalangan serta menyebabkan kesesakan lalulintas. Menurut pensyarah Fakulti Kejuruteraan, UKM, Profesor Madya Dr. Aminuddin Ismail, sikap pengguna jalanraya adalah punca berlakunya kes-kes kemalangan dan juga kesesakan jalanraya.
Beliau berkata demikian berdasarkan hasil yang diperolehi selepas membuat kajian terhadap ‘Kelakuan Pemandu Menukar Lorong di Persimpangan Jalanraya Isyarat di Kawasan Bandar.’ Katanya “Sikap pemandu yang tidak menghiraukan papan tanda seperti tanda berhenti boleh mengakibatkan kesesakan dan kemalangan jalanraya. Sikap seperti ini mempengaruhi tindakan pemandu terhadap sesuatu senario di jalanraya.”Sikap tidak berdisiplin ketika memandu menyebabkan mereka memandu mengikut perasaan seperti memandu melebihi had laju, tidak memberi isyarat untuk menukar lorong, melanggar peraturan lampu isyarat dan lain-lain lagi.
Dr. Aminuddin berpendapat, bagi mengubah sikap pemandu ini, kurikulum perlulah diubahsuai dan pemantauan melalui kursus-kursus patut dijalankan secara berterusan.Beliau juga menyatakan, syarat had umur bagi memiliki lesen memandu yang dicadangkan dinaikkan kepada 20 tahun, perlu dikaji semula kerana itu bukanlah satu jalan penyelesaian yang baik. “Had umur yang lewat ini mungkin akan menyebabkan pemandu-pemandu muda ini memandu tanpa lesen dan ‘mencuri-curi’ memandu”.
Sebagai alternatif, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenalpasti
masalah kemalangan jalanraya. Begitu juga dengan usaha untuk mengurangkan kadar
kemalangan jalanraya perlu dipergiatkan termasuklah mengadakan latihan intensif.
Laman Utama Isu kampus Berita Kampus Penyelidikan Panorama Teknologi Maklumat Info Umum English Seni Budaya Sukan Editorial UKM |