Laman Utama    Isu kampus  Berita Kampus    Penyelidikan    Panorama    Teknologi Maklumat   Info Umum   English   Seni Budaya   Sukan     Editorial    UKM

Benarkah siswazah memilih?
Oleh: Aminah Samsudin Mohd
 

PELUANG
membentuk peribadi berketrampilan perlu direbut ketika belajar di universiti. Demikian dinyatakan Profesor Dato’ Dr. Mohd Wahid Samsudin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau menekankan “universiti bukan semata-mata tempat untuk menimba  ilmu pengetahuan dalam bidang akademik semata-mata tetapi tempat membentuk ketrampilan pelajar itu sendiri.”Katanya, akademik semata-mata tidak boleh menjamin seseorang pelajar itu  mudah untuk mendapatkan pekerjaan.Ini kerana persaingan pasaran kerja yang sengit memerlukan seseorang yang benar-benar berketrampilan.

Menurut beliau, ini boleh dicapai jika pelajar mengambil peluang yang disediakan pihak universiti seperti kursus komunikasi dan kemahiran termasuk ICT, bahasa Inggeris, bengkel kerjaya dan sebagainya yang ada ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Mahasiswa.Dato’ Dr. Mohd Wahid berpendapat “siswazah sebenarnya tidak kisah dengan kerja apa pun dan ini semuanya baik untuk mereka.”  Beliau menegaskan, UKM tidak pernah berputus asa malah sentiasa berusaha meningkatkan sahsiah diri pelajar-pelajarnya.

Beliau berharap pelajar akan memberi keutamaan yang sama di antara akademik dan kurikulum dalam usaha membina peribadi yang memenuhi kehendak pasaran kerja tetapi dalam masa yang sama perlu bijak mengurus masa.

 

Siswazah melimpah?
Oleh: Aminah Samsudin Mohd

MAJORITI graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2003 memberikan sebab tidak bekerja kerana melanjutkan pelajaran tetapi majoriti graduan 2002 memberikan sebab masih mencari pekerjaan.   Alasan  lain yang popular ialah graduan memilih untuk tidak  bekerja, masih mencari pekerjaan, ingin berehat dan tanggungjawab pada keluarga. Maklumat ini adalah di antara kandungan Laporan Pengangguran Siswazah UKM yang telah disediakan Pusat Pembangunan Mahasiswa, UKM.

Laporan tersebut mengandungi maklumat kadar pengangguran berkenaan status graduan yang belum mendapat kerja enam bulan selepas menamatkan pengajian bagi tahun 2002 dan 2003 berasaskan kajian pengesanan graduan yang dilaksanakan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Bagi sesi 2003 daripada 3,067 graduan (tidak termasuk PJJ dan Eksekutif) 1,651 masih belum bekerja.  Manakala bagi sesi 2002, seramai 2,449 daripada 5,571 graduan belum mendapat pekerjaan.  Jika dilihat berasaskan jantina, peratus graduan perempuan tahun 2003 (43.3%; 1,140 orang) yang tidak bekerja adalah lebih tinggi daripada peratus graduan lelaki (39.7%;  503 orang). 

Bilangan ini tidak jauh berbeza daripada peratus graduan tahun 2002 iaitu 45% (1,760 orang) daripada graduan perempuan dan 40.1% (705 orang) daripada graduan lelaki yang belum bekerja pada tarikh konvokesyen.Peratus siswazah perempuan yang tidak bekerja bagi peringkat nasional (berasaskan populasi graduan yang menyertai Skim Latihan Siswazah) ialah 65.7% sementara graduan lelaki yang tidak bekerja ialah 34.3%.

Jika dibandingkan antara bidang pengajian, dua bidang  menyaksikan peratus yang tidak bekerja lebih tinggi daripada peratus yang bekerja iaitu bidang Teknologi Maklumat (52.7% atau 174 orang) dan Pengajian Islam (55.1% atau 286 orang).Bidang yang bilangan tidak bekerja hampir sama banyak dengan bilangan yang bekerja ialah Sastera dan Sains Sosial (49% atau 287 orang belum bekerja) dan Sains dan Teknologi (48% atau 480 orang belum bekerja).

Sebanyak 33.8% atau 95 orang graduan perdagangan masih belum mendapat pekerjaan ketika konvokesyen tetapi dalam bidang-bidang lain perbandingan peratus tidak bekerja adalah kurang daripada 30%.   Trend yang sama diperlihatkan oleh data tahun 2002 (Teknologi Maklumat; 57.1% atau 234 orang dan Pengajian Islam; 58.5% atau 247 orang).

Sementara itu, hasil penyelidikan Majlis Tindakan Negara mendapati siswazah menyebut faktor-faktor peribadi dan bukan peribadi sebagai penyebab susah mendapat kerja.  Perkara-perkara yang disenaraikan di bawah faktor peribadi  ialah kurang pengalaman kerja, kurang kemahiran Bahasa Inggeris, kurang keyakinan diri, kurang kelayakan akademik, kurang kontak atau jaringan sosial dan kurang kemasan diri. Faktor bukan peribadi yang disebut pula ialah kos mencari kerja tinggi, ketiadaan pengangkutan, tiada maklumat tentang kekosongan kerja, persaingan sengit, hendak dekat dengan keluarga serta tiada kenalan atau jaringan sosial.

 

UKM komited  bendung pengangguran
Oleh: Aminah Samsudin Mohd


 
MALAYSIAN
International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) berpendapat bahawa masalah pengangguran siswazah juga berpunca daripada sikap siswazah yang terlalu memilih pekerjaan.  MICCI menyatakan mindset siswazah perlu diubah supaya menyedari bahawa walau apa pun jenis pekerjaan yang mereka masuki, mereka akan mendapat pengalaman yang berguna dan tetap diambil kira semasa permohonan kerja tetap.       

Pandangan MICCI ini terkandung dalam Laporan Pengangguran Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebagai salah satu daripada sepuluh cadangan meningkatkan daya pasar siswazah UKM. Laporan itu juga menyatakan peluang pencari kerja bagi pekerjaan peringkat tinggi melalui perkhidmatan pengguna Jabatan Tenaga Kerja adalah rendah berbanding pekerjaan peringkat rendah. 

Statistik yang didapati dalam laporan tersebut mencatatkan peluang kerja 3.8 : 1 bagi pekerjaan profesional / teknikal dan 3.4 : 1 bagi kumpulan pekerjaan pentadbiran dan pengurusan berbanding 8.8 : 7 bagi pekerjaan peringkat rendah. Ini memberi cabaran kepada siswazah UKM untuk menyediakan diri memasuki pasaran pekerjaan bukan tradisional seperti dalam sektor swasta.  ‘Kebimbangan industri’ atau ‘kebimbangan modenisasi’ juga perlu dihilangkan dari minda siswazah UKM.  Untuk itu siswazah UKM  perlu didedahkan kepada persekitaran industri yang tidak familiar bagi mereka melalui program Latihan Industri prapekerjaan. 

Selain itu, dicadangkan juga pengwujudan sebuah pejabat khas yang memainkan peranan membantu pelajar mendapatkan maklumat tentang pekerjaan dengan lebih baik dan berkesan serta membina jaringan dengan organisasi dan industri yang boleh menawarkan pekerjaan.

Laporan itu juga menyarankan agar semua pertubuhan-pertubuhan pelajar UKM terutama Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) mengemukakan imej pelajar yang berorientasi korporat, boleh suai, tidak tegar, bukan pembantah dan boleh runding kerana imej pertubuhan pelajar akan melimpahkan persepsi bersifat stereotaip kepada seluruh pelajar. Terdapat juga cadangan untuk menambah kepanjangan masa mahasiswa berada di universiti sehingga empat tahun untuk membina kematangan yang lebih tinggi di kalangan siswazah universiti. 
 

Laman Utama    Isu kampus  Berita Kampus    Penyelidikan    Panorama    Teknologi Maklumat   Info Umum   English   Seni Budaya   Sukan     Editorial    UKM