Laman Utama    Isu kampus  Berita Kampus    Penyelidikan    Panorama    Teknologi Maklumat   Info Umum   English   Seni Budaya   Sukan     Editorial    UKM

Busana Gemilang dapat sambutan
Oleh: Siti Esah Sulaiman


BUSANA
Gemilang UKM 2003 telah berlangsung dengan jayanya pada 22 hingga 31 Disember 2003 untuk kali yang ketujuh. Projek yang bertemakan ‘Busana Koleksi UKM’ ini merupakan projek tahunan anjuran Pusat Kebudayaan. Objektif program ini diadakan adalah untuk menanam semangat kenal, menghargai dan menyintai  kesenian busana sendiri melalui penglibatan secara terus dalam kegiatan seperti ini.

Program Busana Gemilang ini juga diharapkan dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk meraih pengalaman serta membentuk kepimpinan dan sikap bertanggungjawab menerusi pengelolaan dan penglibatan dalam program ini. Program seumpama ini akan memberi kesedaran serta pemahaman kepada semua bahawa kesenian adalah milik kita bersama. 

Menerusi program ini, pelajar dan masyarakat akan didedahkan dengan bahan-bahan budaya sebagai usaha ke arah kecelikan budaya serta membina daya kreativiti pelajar. Busana tradisional umpamanya adalah contoh bahan budaya yang tidak seharusnya dilupakan kerana kewujuannya seiring dengan perkembangan ketamadunan Melayu. Ia merupakan seni budaya yang tinggi nilainya dan perlu dipertahankan agar terus dihormati dan disanjungi oleh generasi akan datang.




Antara busana yang diperagakan

Menurut Ketua Pusat Kebudayaan UKM, Drs. Rafie Hj. Mohammad, Pusat Kebudayaan sentiasa menganjurkan pelbagai aktiviti yang mempunyai nilai seni dan budaya tinggi seperti ini pada setiap tahun. Beliau yang juga  bertindak sebagai pengerusi projek Busana Gemilang, bersama-sama dengan jawatankuasa pelaksana lain telah merancang projek ini  dengan begitu teliti agar berjalan dengan lancar. Hasilnya, berlangsunglah program selama 10 hari ini yang menampilkan pelbagai busana Melayu tradisional yang indah, yang diperbuat daripada kain-kain tenunan yang halus lagi bermutu tinggi.

Majlis perasmian yang diadakan pada 22 Disember 2003 ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua SUKMAWANITA, Y.Bhg. Datin Lestari Soenarko, dan turut hadir ialah Naib Canselor, UKM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Salleh Mohd Yasin. Acara kemuncak pada hari itu ialah peragaan Busana GemilangKoleksi Tradisional UKM yang menampilkan sebanyak 45 busanadari koleksi UKM sejak tahun 1991sehingga 2003 termasuklah busana dari Indonesia.

Selepas acara peragaan dan perasmian majlis pada petang tersebut, pameran pakaian telah diadakan di Galeri Seni & Anjung  Seni, Aras 2 & 3 DECTAR, UKM. Program ini ternyata memberi peluang kepada orang ramai sertasemua warga UKM untuk  mengenali dengan lebih dekat lagi seni busana Melayu tradisional.

 

UKM hargai penggiat seni
Oleh: Siti Esah Sulaiman


MAJLIS
penyampaian anugerah yang dikenali sebagai Malam Anugerah Seni 2003 telah diadakan baru-baru ini bagi mengenang  jasa dan memberi penghargaan kepada para pelajar serta masyarakat kampus yang telah banyak memberi sumbangan dalam aktiviti kesenian UKM. Majlis anjuran Pusat Kebudayaan UKM dan Urusetia ARTISUKMA ini telah diadakan  pada 26 Disember 2003, bertempat di DECTAR UKM, jam 8.00 malam.

Selain untuk mengenang dan menghargai usaha semua pihak yang terlibat dalam aktiviti kesenian, majlis ini juga diadakan untuk memberikan dorongan dan galakan agar warga kampus akan bergiat lebih aktif dalam setiap program kesenian di dalam dan di luar kampus. Majlis ini juga diharapkan akan mengeratkan hubungan dua hala antara pelajar dan kakitangan serta masyarakat  kampus seterusnya  ini akan meningkatkan lagi persefahaman antara organisasi-organisasi di dalam dan luar kampus serta memupuk perpaduan bangsa di kalangan masyarakat kampus.

Pihak penganjur amat mengharapkan agar acara ini dapat mencapai objektifnya dan mendapat kerjasama semua pihak. Ini bagi memastikan kegiatan seni di UKM akan terus berkembang pada masa akan datang.

Sebanyak  14 kategori anugerah dipertandingkan pada tahun ini, antaranya Anugerah Seni untuk mahasiswa dan mahasiswi, Anugerah Penggiat Seni Kampus, Anugerah Kumpulan Kesenian Teraktif, Anugerah Seni Beladiri, Anugerah Senitari, Anugerah Seni Teater dan banyak lagi. Selain anugerah, sijil juga diberikan kepada Kumpulan Aadyamaatra ARTISUKMA, Kumpulan Koir ARTISUKMA, Kumpulan Kertuk dan Rebana Ubi ARTISUKMA , Kumpulan Teater Rimba ARTISUKMA, Kumpulan Gamelan ARTISUKMA dan lain-lain lagi kerana keaktifan mereka.

Para pemenang ternyata berpuas hati dengan anugerah yang diterima dan akan menjadikannya sebagai inspirasi  untuk  terus bergiat aktif menyumbangkan jasa dan tenaga dalam memartabatkan seni budaya masyarakat  Melayu.

 

Laman Utama    Isu kampus  Berita Kampus    Penyelidikan    Panorama    Teknologi Maklumat   Info Umum   English   Seni Budaya   Sukan     Editorial    UKM