Laman Utama Isu kampus Berita Kampus Penyelidikan Panorama Teknologi Maklumat Info Umum English Seni Budaya Sukan Editorial UKM |
Olahragawan UKM 2003
Oleh: Mohd Nur Ikhsan Ahmad
MAJLIS
Anugerah Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-15 baru-baru ini telah
menganugerahkan Olahragawan Pelajar kepada Muhammad Anuar Che Wahab sebagai
menghargai sumbangan beliau kerana mengharumkan nama universiti dan negara dalam
sukan ragbi.
Dilahirkan pada 8 November 1982, Muhammad Anuar yang berasal dari Kelantan telah
mula melibatkan diri dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah menengah lagi.
Dalam usia semuda 15 tahun, beliau telah mewakili pasukan ragbi Kelantan ke
Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sejak dari tahun 1997
hingga 1999 dan berjaya membantu pasukan negeri Kelantan untuk muncul johan pada
tahun 1999.
Kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang
membolehkan beliau menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan
ternyata telah membuka lebih banyak ruang kepada beliau untuk berjaya dalam
sukan ragbi. Ketika masih dalam pengajian, beliau telah terpilih untuk mewakili
pasukan ragbi Negeri Sembilan bagi kejohanan bawah 19 tahun.
Seterusnya,
setelah melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjanamuda di UKM, beliau
turut mewakili pasukan ragbi UKM di kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia
pada tahun 2002 dan 2003 serta berperanan sebagai ‘playmaker’ sehingga
membantu UKM muncul johan Bowl dalam kejohanan ragbi Terbuka UPM 2002.
Pemilihan beliau sebagai pemain Kelab Staroba Orange, sebuah kelab tempatan yang
terkenal dalam sukan ragbi juga membuahkan hasil apabila berjaya membantu kelab
tersebut menjadi johan di Kejohanan Ragbi Antara Kelab Kebangsaan 2002, johan
Ragbi 7’s Terbuka Melaka dan Terbuka Petronas Syntium 2002, johan Bangkok Open
2002 dan naib johan Terbuka Hadyai 2002 dan naib johan Terbuka Negeri Sembilan
2003.
Selain itu, beliau juga turut mewakili dan membantu negeri Selangor menjadi johan Piala Kejohanan Ragbi Malaysia (KRM) serta naib johan peringkat kebangsaan pada tahun 2003. Kejayaan terbesar beliau ialah apabila terpilih mewakili Malaysia ke kejohanan Ragbi 7’s di Hong Kong.
Namun, kehebatan Muhammad Anuar yang sebenarnya ialah kejayaan beliau yang berupaya menseimbangkan kecemerlangan dalam bidang sukan serta bidang akademik . Mahasiswa tahun tiga jurusan Kejuruteraan Komunikasi dan Komputer ini telah berjaya memperolehi Purata Nilai Grade Keseluruhan (PNGK) 3.16. Jelasnya, beliau adalah contoh mahasiswa yang berjaya membuktikan kecemerlangan dalam bidang bukan akademik bukanlah penghalang untuk turut memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik.
Majlis
Anugerah Sukan UKM ke-15
Oleh: Mohd Nur Ikhsan Ahmad
BARU-BARU
ini bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) telah berlangsungnya
Majlis Anugerah Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kali ke-15.
Majlis ini diadakan adalah untuk menghargai sumbangan mahasiswa dan kakitangan
UKM yang telah mengharumkan nama universiti dan negara dalam bidang sukan.
Sebanyak 16 anugerah telah disediakan oleh Unit Sukan, Jabatan Hal-Ehwal Pelajar
untuk para pemenang.
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Khalid
Yunus ini menyaksikan penobatan Muhammad Anuar Che Wahab sebagai Olahragawan
Terbaik, manakala Annisa Jaafar dari Fakulti Sains dan Teknologi meraih anugerah
Olahragawati Terbaik. Olahragawan dan olahragawati terbaik ini masing-masing
menerima hadiah piala pusingan, piala iringan, wang tunai masing-masing RM500
dan RM300, di samping hadiah iringan.
UKM sentiasa hargai para atlet
Bagi kategori Olahragawan Kakitangan, Mohd Fauzi Ghadzali yang terbabit dalam
sukan sepak takraw dan Zalina Yasin daripada sukan bola baling telah dinobatkan
sebagai Olahragawati Kakitangan. Selain itu, UKM juga turut menganugerahkan
Atlet Cemerlang Pelajar kepada Mohd Nazreen Fuzi Mohd Nazzaruddin. Manakala Zul
Amri Hassan dan Ng Peck Hoo pula memenangi hadiah bagi kategori Bintang Harapan
Pelajar Lelaki dan Wanita.
Bagi Pasukan Terbaik Pelajar, anugerah telah diberikan kepada Pasukan Tenis
Lelaki, Pasukan Terbaik Kakitangan disandang oleh Pasukan Ping Pong Lelaki dan
anugerah Kelab Sukan Terbaik disandang pula oleh Pasukan Aerobik dan Kecergasan.
Kategori Bintang Harapan Kakitangan Lelaki dan Wanita pula menyaksikan Anuar
Abdul Rahman dan Hani Azlin Hussin Shaukat yang cemerlang dalam sukan bola
tampar berjaya mengatasi calon-calon lain.
Seterusnya, kategori Pengurus Terbaik dimenangi oleh Mursidi Ahamad untuk sukan
Tenpin Bowling sementara Azman Mat Zain pula diumumkan sebagai Jurulatih Terbaik
bagi sukan Silat Olahraga. UKM juga turut menghargai atlit pelajarnya dengan
meng-anugerahkan Anugerah Emas dan Anugerah Perak kepada 157 orang mahasiswa
serta anugerah kategori Jasamu Dikenang kepada 20 kakitangannya.
Sementara itu, Datuk Khalid dalam ucapannya berkata, majlis yang diadakan ini
telah membuktikan bahawa UKM sentiasa memberi perhatian kepada aktiviti dan
pembangunan sukan serta menafikan tanggapan bahawa pembabitan atlit dalam sukan
akan berakhir sebaik saja mereka melanjutkan pengajian di peringkat universiti.
Laman Utama Isu kampus Berita Kampus Penyelidikan Panorama Teknologi Maklumat Info Umum English Seni Budaya Sukan Editorial UKM |