Laman Utama    Isu kampus  Berita Kampus    Penyelidikan    Panorama    Teknologi Maklumat   Info Umum   English   Seni Budaya   Sukan     Editorial    UKM

 

Projek MEMS atasi masalah kemalangan jalanraya
Oleh  Siti  Salwa Yusop

KEMALANGAN
menjadi satu isu yang  hangat sejak kebelakangan ini.Menurut, pensyarah Psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rozmi Ismail, “Kemalangan jalan raya biasa berlaku di atas tiga faktor utama, sebanyak 94% adalah faktor dari  manusia, dan selebihnya adalah dari faktor cuaca dan jalan.

 Faktor manusia inilah yang ingin dikaji di dalam projek Micro Electronic Mechanical System (MEMS) dengan melihat kepada aspek  keletihan manusia. Untuk itu Dr. Rozmi bersama kumpulan penyelidikannya mengkaji aspek-aspek berkenaan keletihan yang ada dalam diri pemandu.

“Apabila pemandu letih dan mula mengantuk, beberapa kriteria dapat dikesan. Ia termasuk keadaan mata, tekanan darah, keadaan otak dan kadar perpeluhan pemandu. Kesemua faktor ini akan berubah ketika manusia tidur” menurut kata Dr. Rozmi.Tambah beliau, apabila seseorang itu keletihan dan tidak cukup rehat, secara automatik pemandu akan mengantuk dan rasa ingin berehat.

“Walaupun pelbagai cara untuk menghalang perasaan ingin tidur, ada satu ketika manusia akan tidak sedar bahawa mereka telah tertidur dan menyangka masih di dalam keadaan jaga. Dan akhirnya mereka tidak sedar apa yang berlaku” sambung Dr. Rozmi.Kajian yang memakan kos sebanyak RM 4 juta ini telah dijalankan sejak Oktober 2002 dan dijangka akan siap pada tahun 2005.

Sebelum sistem dibangunkan dan dapat direalisasikan, kajian mengenai pemandu dijalankan terlebih dahulu.Ia penting agar butir-butir atau data-data penting mengenai pemandu dapat dikawal selia melalui alat elektronik yang akan dicipta.Kajian simulasi telah dilakukan bagi mengkaji physiological material dalam diri manusia.

 Ia adalah berkaitan keadaan pemandu di mana keadaan mata, tekanan darah, kadar perpeluhan dan keadaan otak dapat diukur.Sebelum pemandu memula-kan pemanduan, beberapa data perlu direkod oleh pemandu ke dalam sebuah alat elektronik. Data tersebut adalah ter-masuk bilangan jam pemandu telah tidur yang akan dikorelasikan serta-merta.

Semasa pemanduan, apabila didapati pemandu mengantuk iaitu keadaan mata, tekanan darah dan kadar perpeluhan pemandu dapat dikesan, serta-merta satu isyarat lampu berbentuk perkataan akan muncul bagi memberi amaran kepada pemandu. Jika tidak berkesan, akan muncul pula isyarat yang menggunakan bunyi-bunyian sama ada bunyi muzik atau kilat atau bunyi pembacaan al-Quran.

Jika isyarat bunyi masih tidak dapat menyedarkan pemandu,  akan muncul pula isyarat bau-bauan sama ada berbau wangi (aroma terapi) atau busuk. Ini adalah kerana manusia sensitif dengan bau-bauan.Isyarat terakhir yang akan digunakan jika pemandu masih tidak sedarkan diri atau tidak mengendahkan isyarat adalah kejutan elektrik di stereng.

Seterusnya, kenderaan akan dimatikan secara automatik oleh sistem.Dr. Rozmi amat berharap agar suatu hari nanti sistem ini dapat diaplikasikan dan dipasang pada semua kenderaan.Harapan beliau juga agar usaha murni ini dapat memberikan jawapan kepada punca utama kemalangan jalan raya dan sekaligus memperoleh jalan penyelesaian kepada terselamatnya banyak nyawa.

 

Polis trafik moden tangani kesesakan lalu lintas
Oleh: Siti Salwa Yusop

SATU
lagi inovasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah lampu isyarat pintar yang  telah dihasilkan oleh sekumpulan cendekiawan Fakulti Kejuruteraan. “Sistem ini dilengkapi dengan Programme Logy Control (PLC), kamera, modem, komputer, dan lampu isyarat serta bilik kawalan adalah yang terpintar di dunia buat masa ini”.

Menurut pensyarah Kejuruteraan di UKM, Prof. Madya Ir. Dr. Riza Atiq O.K Rahmat, idea untuk menghasilkan sistem ini datang semasa beliau berhadapan dengan masalah kesesakan jalan raya dan polis trafik terpaksa mengambil alih tugas lampu isyarat. Keadaan trafik tidak terkawal bukan sahaja di musim-musim cuti, tetapi juga pada waktu orang ramai sibuk menjalani kehidupan atau aktiviti seharian.

Berikutan itu, Dr. Riza Atiq berpendapat bahawa, lampu isyarat sepatutnya mempunyai daya kawalan dan kecekapan seperti polis-polis trafik yang dapat mengawal kesesakan.Oleh yang demikian, lampu isyarat pintar dibangunkan berteraskan fungsi polis trafik semasa kesesakan lalu lintas berlaku. 

Keupayaan ini dapat mengurangkan kesesakan di sesuatu simpang yang sibuk.Wireless Communication System (WCS) dipasang bagi menghubungkan lampu isyarat kepada pusat atau bilik kawalan.Oleh yang demikian, setiap keadaan atau situasi sesuatu simpang dapat dilihat di pusat kawalan.Selain itu, lampu isyarat pintar juga boleh merakamkan sesuatu keadaan atau kecemasan yang berlaku secara automatik.  Kelebihan ini dapat membantu pihak polis atau pihak-pihak yang berkenaan untuk mengesahkan bukti kemalangan.

Penyelidikan yang bermula sejak Januari 1998 ini telah diikuti dengan pembangunannya di pintu masuk Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2002 sebagai percubaan pertama. Kos sebanyak lebih kurang RM 400,000 telah dibekalkan bagi penyelidikan dan percubaan pertama ini. Hasil percubaan tersebut, telah membawa kepada penyelidikan yang seterusnya dan cuba dibangunkan di kawasan-kawasan lain seperti di Putrajaya, Bangi dan beberapa kawasan lain.

Penyelidikan demi penyelidikan yang telah dijalankan akhirnya menghasilkan tiga buah sistem yang mempunyai keupayaan masing-masing. Sistem-sistem tersebut adalah Intelligent Traffic Signal with Vision System, Intelligent Urban Traffic Management  dan Traffic Surveillance System. Pengenalan sistem Lampu Isyarat Pintar ini bukan sahaja yang pertama di Malaysia malah di dunia.

Harapan Dr. Riza Atiq sendiri, penyelidikan dapat diteruskan sehingga menghasilkan sistem yang lebih operational dan dilengkapi dengan bilik kawalan yang berperalatan canggih. Akhir kata, beliau juga meyarankan agar suatu hari nanti sistem Lampu Isyarat Pintar ini dapat di pasang di setiap persimpangan di sesebuah bandar.
 

Laman Utama    Isu kampus  Berita Kampus    Penyelidikan    Panorama    Teknologi Maklumat   Info Umum   English   Seni Budaya   Sukan     Editorial    UKM